Cadangan Pindaan Undi Pos Bukti Ada Kepincangan
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) ingin memberi maklumbalas berhubung dengan pindaan dalam sistem undi pos yang bakal dibentangkan di parlimen pada tahun ini. SPR bercadang membuat pengundian awal (Advance Voting) bagi membolehkan kumpulan pemilih tertentu pengundi pos menunaikan tanggungjawab sama dengan pengundi awam seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof, Pengerusi SPR yang telah disiarkan akhbar sinar harian pada sabtu 2 April 2011 di muka surat 8.
Seperti kenyataan-kenyataan Dewan Pemuda PAS sebelum ini bahawa sistem pengundian undi pos sangat terdedah kepada manipulasi dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini. Contoh yang paling jelas adalah kertas undi boleh di bawa pulang ke rumah masing-masing oleh pengundi selama 4 hari. Dalam tempoh masa ini kertas undi sangat terdedah kepada manipulasi. Keduanya kedudukan tempat mengundi di dalam Kem menyebabkan masalah birokrasi yang serius antara SPR, pengurusan kem dan parti-parti yang bertanding. Contoh jelas berlaku di Bagan Pinang dan Sibu apabila petugas parti bertanding, khususnya daripada Pakatan Rakyat dihadkan pergerakkan di tempat mengundi dalam kem bagi mengawasi proses pengundian. Alasan yang sangat membosankan oleh pegawai tentera yang bertugas adalah arahan daripada pihak atasan.
Ketiganya adalah berkenaan masalah kempen. Hanya parti pemerintah sahaja yang dibenarkan oleh pihak kem untuk berkempen dalam kem. Atas alasan menjalankan tugas seperti Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Besar boleh berkempen dalam kem . Dewan Pemuda PAS mempunyai bukti yang jelas Menteri Pertahanan Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamed Hasan secara jelas telah berkempen dalam Kem di Bagan Pinang dalam pilihanraya kecil yang telah lalu. Ini adalah tindakan double standard pihak kem kepada parti-parti yang bertanding khususnya Pakatan Rakyat. Dewan Pemuda PAS sangat kuatir pengundi pos tidak mendapat maklumat yang jelas daripada parti yang bertanding.
Dewan Pemuda PAS Pusat mencadangkan beberapa perkara bagi menjadikan usaha SPR ini serius dan menampakkan kesungguhan SPR membuat penambahbaikan di dalam undi pos. Bukan hanya "pindaan celah gigi" yang tidak membetulkan pun ketempangan proses pilihan raya tersebut khususnya yang berkaitan dengan undi pos.
Pertama, SPR akan membuat pindaan agar diberi peluang membuat pengundian awal secara beramai-ramai. Mereka tidak perlu mengisi borang 2. Ini bermaksud bahawa mereka adalah seperti pengundi awam tetapi yang membezakan adalah mereka mengundi awal dan diberi tempoh masa yang mencukupi. Dewan Pemuda PAS ingin mencadangkan bahawa pindaan ini hendaklah mengambil kira persoalan masalah biokrasi dalam proses pengundian. Pindaan ini perlu dengan jelas menyatakan bahawa pihak SPR mempunyai kuasa penuh menguruskan proses pengundian di tempat yang telah ditetapkan. Ini bagi mengelakkan campurtangan daripada pihak pengurusan Kem atau balai polis yang boleh memberi ruang kapada manipulator mencatur manipulasinya.
Keduanya, SPR hendaklah membuat pindaan berkenaan keadah kempen di dalam Kem atau Balai Polis. Contohnya memberi ruang kepada parti bertanding bertemu dengan pengundi ditempat yang disediakan di dalam kem atau balai polis. Pihak pemerintah pernah menolak cadangan ini atas alasan bahawa anggota tentera dan polis tidak boleh terlibat dalam politik. Saya kira ini kenyataan yang dangkal kerana parti-parti yang bertanding bukan mahu anggota tentera dan polis menjawat jawatan dalam parti politik tetapi hanya mahu menyampaikan maklumat parti kepada pengundi pos. Maklumat yang jelas ini sangat perlu bagi pengundi pos membuat keputusan yang jelas semasa mengundi dan mengelakan perasaan takut untuk membuat keputusan. Dalam kes pilihanraya kecil Bagan Pinang, bahan kempen PAS menjadi bahan terlarang seumpama dadah untuk masuk dalam kem. Ini adalah tidak adil kepada parti yang bertanding.
Ketiganya, bagi mereka yang berada di luar negara mereka seharusnya boleh mengundi di kedutaan Malaysia di luar negara. Contohnya pelajar kita di Mesir yang jumlahnya lebih kurang 7,000 orang boleh mengundi di kedutaan Mesir. Amalan ini telah dilaksanakan oleh rakyat Indonesia yang bekerja di negara kita. Mereka mengundi di kedutaan Indonesia di negara kita. SPR dan petugas parti yang bertanding boleh mengawasai pengundian yang berjalan. Dewan Pemuda PAS membantah cadangan SPR untuk menjadikan pelajar kita diluar negara sebagai pengundi pos.
Kempatnya, hanya mereka yang mempunyai tugas kritikal pada hari mengundi sahaja yang dibenarkan untuk membuat pengundian secara pos. Contohnya anggota tentera yang yang bertugas dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) di negara bergolak. Mereka tidak boleh mengundi di kedutaan kerana masalah keselamatan. Walaupun begitu proses pos hendaklah telus. SPR hendaklah mempunyai keupayaan mengawal kertas undi sepenuhnya. Bukan diserahkan kepada pihak ketiga yang diraguai kemampuannya seperti yang berlaku sekarang. Suatu mekanisma yang lebih berkesan juga harus di usahakan oleh SPR bagaimana agar pungutan dan penghantaran kertas undi dapat dibuat dengan lebih efektif dan tidak terlalu terdedah kepada manipulasi sebagaimana proses yang sedia ada.
Kelimanya, Parti-parti yang bertanding adalah client atau pengguna kepada SPR. Maka sudah sewajarnya parti-parti bertanding ini dilibatkan dalam membuat pindaan terhadap undi pos. Ini bagi mendapatkan keadilan dalam perlaksanaan undi pos. Setakat ini belum ada lagi pembentangan yang dibuat oleh SPR kepada parti-parti yang bertanding sedangkan pindaan akan dibuat pada bulan Jun tahun ini.
Cadangan pindaan undi pos yang dicadangkan oleh SPR membuktikan bahawa terdapatnya kepincangan serius dalam pengundian pos seperti yang telah saya dedahkan sebelum ini. Persoalannya bagaimana pilihanraya Sarawak yang akan berlansung pada 6hb hingga 16 hb April 2011? Pilihanraya ini berlaku sebelum pindaan terhadap undi pos dilaksanakan. Oleh itu manipulasi undi pos boleh berlaku dalam pilihanraya umum negeri Sarawak. Maknanya pilihanraya Negeri Sarawak dilaksanakan dalam tempoh kepincangan undi pos. Keadilan tidak dapat ditegakkan dalam pilihanraya ini kerana adanya undi pos. Persoalannya adakah rakyat negeri Sarawak mendapat keadilan untuk menentukan pemerintah di negeri mereka sedangkan kepincangan undi pos masih berlaku dalam pilihanraya ini? Jika pilihanraya Umum berlaku pada bulan Jun 2011 maka sekali lagi negara kita menghadpi pilihanraya Umum ke-13 dalam kepincangan undi pos. Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kepincangan ini.
Suhaizan Kayat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat
0 comments