Boikot Dari Pandangan Islam
Kebiadaban Israil di bumi Palestin telah mendapat pelbagai respons dari kalangan umat Islam, termasuk ulama-ulama Islam.
Tokoh-tokoh Islam seperti Syeikh Dr.Muhammad Sayyid Tontowi, Syaikhul Azhar, yang selama ini terlalu lembut dalam setiap kenyataannya, kini dengan tegas dalam membicarakan kemestian memerangi musuh-musuh Islam: " Apabila kamu tidak mampu memerangi mereka (musuh-musuh Islam, Israil, Amerika Syarikat dan Denmark) dengan senjata, maka sekurang-kurangnya lawanlah dengan memboikot barang-barang dan produk-produk mereka."
Fatwa mengenai pembokotan barangan Israil, Amerika dan Denmark adalah satu perkara yang sepatutnya diikuti oleh semua orang Islam lebih-lebih lagi di zaman fitnah ini. Hari ini Islam seolah-olah sudah mati, tidak kedengaran lagi suara-suara yang bangkit menentang kezaliman dan penindasan ke atas umat Islam. Amerika hari ini umpama Israil kedua, kerana tanpa sokongan kuat darpada Amerika, tidak mungkin Israil mampu bertahan. Koloni Yahudi juga tidak mampu tumbuh tanpa bantuan Amerika.
Antara dalil kewajipan memboikot barangan mereka ialah :
Pertama : Firman Allah Taala yang bermaksud : " Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangi kamu kerana agama sebagai kawanmu dan (mereka) mengusir kamu dari negerimu dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim ".(surah Al-Mumtahanah :9)
Kedua : Persetujuan Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam pada Thumamah ketika dia berkata kepada orang-orang Quraisy : " Demi Allah Taala, tidak akan sampai kepada kalian sebiji gandum pun sehingga Rasulullah Sollalahu `Alaihi Wasallam mengizinkannya ".
Apabila Thumamah bin Athal al-Hanafi telah memeluk Islam, beliau pergi menunaikan Umrah. Ketika beliau sampai di Mekah, orang-orang Mekah berkata: "Adakah anda telah memeluk agama yang sesat?
Thumamah menjawab: "Tidak, saya hanya mengikut agama yang terbaik iaitu agama Muhammad. Dan demi Allah kalian tidak akan dapat selepas ini apa-apa barangan daripada Yamamah sehinggalah Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam mengizinkannya".
Kemudian beliau kembali ke Yamamah. Di Yamamah beliau melarang barang dagangan dihantar ke Mekah (beliau melaksanakan sekatan ekonomi). Akhirnya penduduk Mekah menulis surat kepada Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam.
Antara lain mereka menyatakan kepada Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam :"Anda menyuruh kami menyambung silaturrahim akan tetapi anda sendiri memutuskan silaturrahim tersebut. Anda bunuh orang tua kami dengan pedang, anak-anak kami dengan kelaparan".
Akibat daripada itu, Rasulullah Solallahu `Alaihi Wasallam mengutus surat kepada Thumamah meminta beliau agar menghentikan sekatan ekonomi tersebut.
Ketiga : Ijmak para Ulama` yang mengharamkan pemberian manfaat buat orang-orang Kafir Harbi(yang memrangi umat Islam).
0 comments