Usah Tunggu Pilihanraya
MARANG – Para pemuda PAS diseru supaya menggiatkan usaha penerangan serta gerak kerja saraf bermula dari sekarang dan bukannya di waktu hampir kepada pilihan raya sahaja.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata Terengganu dilihat antara negeri yang banyak isu-isu politiknya.
Katanya, isu-isu tersebut mesti dimanfaat dan diketengahkan bagi mewujudkan persepsi tertentu terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Terengganu banyak isu-isu politik bermula dengan ‘percakaran’ sesama Umno, tekanan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang merimaskan rakyat hinggalah bangunan yang kerap kali runtuh. Dan rata-rata rakyat Malaysia menjenamakan Terengganu sebagai ‘Darul Runtuh’,” jelasnya kepada para perwakilan Muktamar Pemuda PAS Terengganu, yang berlangsung di Rusila, dekat sini, Sabtu lalu.
Katanya, pemerkasaan parti di peringkat negeri perlu dilakukan secara serius dan bersungguh-sungguh untuk dibawa ke peringkat kawasan dan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Beliau juga melihat, jentera penerangan adalah sebuah jentera besar yang akan mewarnai kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, akan datang.
Justeru, menurutnya, ‘melontar’ isu-isu yang banyak pada saat-saat akhir apabila tiba musim pilihan raya kelak tidak akan menyentuh ‘jiwa’ masyarakat.
Ucapannya yang menjadi tema dengan tajuk “Menyemarak Jihad Untuk Kemenangan” menggariskan 13 langkah pelbagai strategi, sebagai panduan kepada Pemuda, bagi menawan Terengganu pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Muktamar Pemuda PAS Terengganu tersebut dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad serta dihadiri oleh wakil Perhubungan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Salleh dan wakil Pemuda PAS Pusat, Ustaz Khairil Nizam Khairuddin.
0 comments