Judi: Cadangan Untuk Negeri-negeri Pakatan Rakyat
– Hapuskan Semua Jenis Judi
– Hapuskan Semua Jenis Judi
Pemuda PAS Gombak melihat komitmen PKR dan DAP dalam menangani isu judi bola sepak Piala Dunia sebagai sesuatu yang positif. Ia membuktikan bahawa nilai-nilai syariat dan akhlak di dalam Islam turut diterima oleh masyarakat bukan Islam.
Kesepakatan pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat termasuk yang bukan Islam perlu dilihat positif dari aspek dakwah Islam. Ia membuktikan, selama beberapa tahun PAS bersama-sama dengan PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat, digunakan sebaiknya untuk berdakwah. Ia sesuatu yang sama sekali tidak berlaku oleh Umno selama mana mereka memimpin parti-parti komponen Barisan Nasional.
Sehubungan dengan itu, Dewan Pemuda PAS Gombak ingin menyeru kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat agar menunjukkan contoh yang terbaik kepada rakyat jelata bahawasanya negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat jauh lebih baik daripada negeri-negeri yang diperintah Barisan Nasional, yang sememangnya telah menjadi aspirasi Pakatan Rakyat selama ini.
Memandangkan sudah disepakati oleh para pimpinan Pakatan Rakyat bahawasanya judi, sekalipun ia dilesenkan, lebih banyak mendatangkan banyak keburukan berbanding kebaikan, maka negeri-negeri Pakatan Rakyat harus membuktikannya dengan mengambil pendirian serupa terhadap syarikat-syarikat judi yang masih beroperasi di negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Dalam hal ini, Kelantan boleh dijadikan satu model pemerintahan kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain memandangkan Kelantan sudah lebih 20 di bawah pemerintahan PAS.
Kita sedari bahawa syarikat-syarikat judi yang wujud ini adalah warisan peninggalan kerajaan Barisan Nasional yang lama sebelum diambil alih oleh Pakatan Rakyat, dan ia telah lama berakar umbi di dalam masyarakat.
Maka untuk itu, kita sedia maklum bahawasanya tindakan yang boleh diambil adalah secara berperingkat-peringkat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh kerajaan PAS Kelantan ketika mula-mula mengambil alih Kelantan dahulu daripada tangan Umno / BN.
Kami yakin dan percaya, dengan tindakan berani ini akan menempelak kerajaan Barisan Nasional yang selama ini mengaut keuntungan daripada kebejatan moral melalui kegiatan judi ini.
Kita tahu bahawa selama ini selama ini kegiatan judi berlesen lebih banyak menguntungkan segelintir sahaja tauke-tauke judi yang menjadi sumber kekayaan kroni-kroni dan tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada rakyat terbanyak.
Justeru, tindakan pengharaman judi secara menyeluruh terhadap syarikat-syarikat judi yang wujud di Malaysia tidak sekali-kali akan menjejaskan sumber ekonomi negara yang sebenarnya selama ini diuruskan secara korup oleh Barisan Nasional.
Kami yakin, tindakan berani ini sekali gus akan membuka mata rakyat Malaysia dan dalam masa sama dapat meyakinkan mereka bahawa Pakatan Rakyat adalah parti alternatif Barisan Nasional untuk membawa negara yang lebih aman dan makmur.
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Gombak.
0 comments