Faqir Miskin Yang DiUtamakan Oleh Allah Mendapat Sedeqah
Sesungguhnya manusia ini Allah taala ciptakan dalam keadaan penuh kelemahan. Ditambah pula manusia turut dicipta dalam keadaan yang serabut. Tetapi Allah taala dengan Rahmat-Nya dan Penyayang-Nya, meletakkan pengecualian ke atas hamba-Nya. Baik manusia itu disudutkan dengan pelbagai latar belakang dan status. Semuanya, jika tidak mengikut acuan Allah taala, memang takkan hidup tenang dan selamat. Lebih-lebih lagi kita selaku pilihan Allah taala untuk memikul bebanan ayat-ayat Allah taala yang wajib kita realisasikannya dalam kehidupan kita seharian, kene ikut acuan Allah taala melalui agama-Nya, ISLAM yang bukan setakat agama anutan, tetapi menjadikan Islam sebagai CARA HIDUP dalam kehidupan seharian.
Amat malang dan rugi besar, bagi sesetengah golongan yang bergelar Huffazul Quran, mempraktikkan ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya, dengan separuh-separuh. Beriman Separuh, dan Kufur Separuh. Tidak ada kesungguhan dan keyakinan untuk beramal dengan keseluruhan ayat-ayat yang telah dihafalnya. Alasan yang diberikan, tak sampai masa lagi, tunggu masa yang sesuai, tengok keadaan la, semuanya dalam hati, tunggu dulu. Yang paling malang, ada sesetengah Huffazul Quran kini, sanggup menyembunyikan kebenaran, merelakan kemaksiatan dan kezaliman yang berlaku, tidak berani menyuarakan kebenaran, dek kerana TAKUT kepada Manusia. Jika dibelek dalam kitab Aqidah, ini SYIRIK namanya. Apabila syirik, Haram Syurga ke atasnya. Neraka, kekal di dalamnya. Astaghfirullah al-Azim..
Menghurai tentang golongan faqir miskin yang Allah taala utamakan untuk diberi sedeqah ataupun bantuan serta pertolongan. Menarik sungguh panduan Allah taala ini. Ialah, selama ini, ayat-ayat al-Quran hanya untuk dihafal, dan diketahui maknanya sahaja. Bukan untuk difahami dan dicernakan dalam kehidupan seharian. Sungguh merugikan...
Firman Allah taala di dalam Surah al-Baqarah, ayat 273 yang bermaksud: "(Sedeqah itu) bagi orang-orang faqir miskin yang mengurung (diri mereka) pada jalan Allah dan tidak berupaya berjalan di muka bumi (mencari mata pencarian). Menurut sangkaan orang yang jahil (tidak mengetahui) bahawa mereka itu kaya kerana tidak mahu meminta-minta. Engkau dapat mengetahuinya dengan adanya tanda-tanda mereka. Mereka tidak meminta-minta kepada orang bertalu-talu. Dan apa-apa yang kamu belanjakan dari jenis kebaikan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya."
Dalam ayat ini, sesungguhnya faqir miskin yang mendapat perhatian daripada Allah, dan dianjurkan oleh Allah supaya mereka itu diberi bantuan berupa sedeqah, PADA MASA ITU, ialah:
1- Faqir miskin yang berada di negeri Madinah, yang dijumlahkan kira-kira 400 orang. Kebanyakkan mereka itu dari kaum Muhajirin. Mereka tidak ada tempat untuk mereka tinggal, dan tidak ada ada pula kaum kerabat mereka. Mereka telah dibenarkan tinggal oleh Nabi saw di pondok-pondok di kawasan Masjid Madinah. Mereka ini lebih dikenali dengan ahli Suffah.
2- Pekerjaan ahli Suffah ini adalah BERIBADAT. Malamnya mereka mempelajari al-Quran, dengan memahami ayat-ayat al-Quran. Apabila siang, mereka mengambil upah menumbuk biji-biji kurma untuk makanan binatang, dan apabila tiba masa BERJIHAD, mereka dihantar oleh Rasulullah saw ke medan perang.
3- Mereka itu terkurung oleh kepapaan dan kemiskinan kerana kehidupan mereka ditumpukan semata-mata untuk berjuang pada jalan Allah, tidak dapat merebut kekayaan dengan berniaga, makan gaji atau seumpamanya.
4- Mereka juga dikatakan daripada golongan orang-orang yang luka atau tercedera dalam medan perang, yang bertempur bersama-sama Nabi saw sehingga kerana cacat anggotanya tidak dapat mencari sara hidupnya.
5- Mereka yang telah dinyatakan keadaannya itu, telah disangkakan pula orang-orang yang jahil, yang tidak tahu keadaan mereka yang sebenar, bahawa mereka itu orang kaya kerana mereka tidak mahu meminta-minta.
6- Lebih jauh, tanda-tanda yang ada pada mereka bermacam-macam, di antaranya; bersifat tawaduk (merendah diri), kelihatan bekas teruk kerana sangat berhajat dan papa, kelihatan pucat dan berpakaian yang tidak sempurna. Namun demikian, tiadalah mereka meminta bertalu-talu. Sungguhpun mereka ada meminta-minta tetapi dengan lembut.
7- Jika mereka mempunyai sesuap pagi, tidaklah mereka meminta-minta untuk sesuap petang. Manakala telah ada sesuap petang, tidaklah meminta-minta untuk sesuap pagi. Dilawannya batinnya yang hendak meminta-minta itu, bahkan selagi mereka berdaya, mereka tetap memada. Dengan demikian, orang yang jahil menyangka mereka itu kaya.
Demikianlah tafsiran berkenaan golongan faqir miskin yang patut diutamakan untuk diberikan sedeqah. Ayat ini bukanlah bermaksud, faqir miskin yang tidak ada ciri-ciri di atas, tidak patut diberi sedeqah. Tengok keadaan la. Sesungguhnya kita ini diberi aqal fikiran. Maka berfikirlah dengan sebaik-baiknya. Buatlah perhitungan berdasarkan Keutamaan. Lebih-lebih lagi keutamaan itu Allah yang tetapkan.
Akhirnya, perlu di INGAT !!! Satu kaedah, yang biasa kita dengar dan pernah kita pelajari satu masa dulu, iaitulah: "Satu Kenyataan Itu Sebenarnya Berkehendak Kepada Yang Umum, Bukanlah Kepada Satu Sebab Yang Khusus." Harap-harapnya kita dapat realisasikan dan aplikasikan ayat di atas dalam kehidupan kita pada hari ini dan di masa yang akan mendatang..